Halaman

Jumaat, 6 April 2012

SOKONG..! HIDUP! HIDUP! MAHASISWA!!!

Salam Perpaduan Mahasiswa UPSI.

Kepada mahasiswa UPSI, UPSIdaily nak bawa semua kuar kejap dari UPSI. Perkongsian dari sahabat mahasiswa kita di UUM.

KU AMIRUL KU SEMAN


UPSIdaily kongsikan artikel yang agak menarik untuk dibaca, bertajuk Mahasiswa Perlu Bangkit oleh saudara Ku Amirul Faiz Ku Seman, TYDP MPPUUM yang telah diterbitkan di akhbar Berita Harian pada 5 April yang lalu. Selamat membaca.


Klik gambar untuk besarkan

------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Beberapa isu terbesar menyelubungi dada akhbar. Isu penyakit masyarakat yang kian menghakis niali-nilai kemanusiaan. Justeru selaku pemegang amanah dari dana yang disumbangkan oleh ahli masyarakat, maka pentingnya mahasiswa bertindak membantu pihak kerajaan dalam menyelesaikan beberapa barah masyarakat yang andai tidak dibendung bakal mengheret kepada kematian nilai timur dalam masyarakat.

Fakta lima dari sepuluh lelaki adalah homoseksual adalah sesuatu yang mengejutkan. Lebih menambahkan kerisauan adalah golongan lelaki ini adalah terdiri dari warga korporat, professional serta kolar putih. Isu homoseksual bukanlah sesuatu isu yang baru. Walhal is wujud sejak zaman Nabi Allah Luth. Ditambah pula pelbagai kecaman serta amaran yang diberikan oleh Allah didalam kitab Allah Al –Quran untuk menyedarkan manusia. Dengan menjadikan surah Al-Araf Ayat 80 dan 81 yang membawa maksud ‘ Dan Nabi Luth (kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk ala mini sebelum kami?’ ‘ Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dan meninggalkan perempuan bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas’.

Namun begitu di manakah silapnya sehinggakan fenomena ini melanda dunia kini umumnya dan negara kita khususnya? Ia sesuatu isu yang besar kerana ia berkait rapat dengan agenda menyelamatkan umat manusia dari lari dari fitrah manusia diciptakan. Fenomena homoseksual ini dikatakan berpunca dari zaman persekolahan baik disekolah harian biasa hinggalah ke sekolah berasrama penuh. Timbulnya persoalan disini adakah dasar pelajaran negara tidak komprehensif? Adakah tidak cukup suntikkan, pendedahan, pemujukan nilai agama serta akhlak dari buku teks? Adakah keupayaan pelajar kini hanya dikira berdasarkan peperiksaan yang menghasilkan para penghafal, penghadam, pakar mengingati tetapi bukan penjiwai nilai ilmu.

Kesedaran mengenai penyakit ini adalah penting. Justeru kesedaran itu hadir hasil daripada penerapan roh ilmu dalam diri pelajar. Malah yang lebih mengejutkan fenomena homoseksual ini berlarutan ke peringkat universiti. Sekali lagi menunjukkan pengamal budaya songsang ini bukanlah seorang yang jahil tetapi seorang yang bijak pandai dan seorang yang boleh dikatakan intelektual. Barangkali masyarakat terlepas pandang, bahawa golongan lelaki yang homoseksual ini akhirnya menjadi penggerak kepada pembangunan masyarakat dan negara. barangkali juga masyarakat mesti akur institusi kekeluargaan masyarakat adalah goyah yang memangkin penularan barah ini. Penderaan seksual oleh seseorang yang dipercayai menyebabkan simangsa terus hidup dalam trauma yang membinasakan dirinya. Tiada mana-mana agama yang menghalalkan perkahwinan atau hubungan sejenis. Maka ia tiada bersangkut paut dengan slogan hak asasi yang dicanang oleh sesebuah pihak. Impaknya amat besar. Implikasinya serius sehingga mampu membunuh institusi kekeluargaan dan mengundang kepada keruntuhan moral dan tamadum memusnahkan kekuatan moral masyarakat. Tuntasnya, fenomena ini perlu dibendung dan ditentang. Ini bukan sahaja berkaitan dengan jenayah atau moral tetapi ia berkaitan dengan kemaslahatan umat.

Selain isu homoseksual, isu jati diri masyarakat orang muda menjadi satu perbincangan. Bagaimana ancaman media barat dalam meruntuhkan jati diri masyarakat muda khususnya. Bagaiman kelahiran slogan dunia tanpa sempadan mendekatkan usia kematian tamadun timur? Dengan menjadikan kenyataan Tan Sri Samsuri Arshad sebagai rujukan, masyarakat kini terdedah kepada konflik identiti. Konflik identiti ini diparahkan lagi kelemahan nilai agama dalam diri. Jati diri adalah benteng terakhir untuk melindungi seseorang dari melakukan sesuatu yang tidak rasional. Makakelemahan jati diri bukan sahaja berkait rapat dengan agama akhlak tetapi cara masyarakat berfikir. Oleh itu ia perlu dipasak dengan nilai agama yang tinggi. Atas alasan liberalism, membuka minda sebuka-bukanya akhirnya menjurus kepada runtuhnya jati diri. Sesuatu yang tidak menjadi resam masyarakat diangkat menjadi gaya hidup masyarakat yang baru. Liberalisme mungkin satu ancaman malah mungkin juga satu peluang. Namun sebagai sebuah masyarakat yang ditanamkan kepercayaan agama seharusnya berfikir sesuatu dari sudut agama. Kerana itu rukun rakyat Malaysia yang ditekankan adalah kepercayaan kepada Tuhan. Islam sendiri agama yang sesuai sepanjang zaman, sesuai didalam urusan pentadbiran, politik serta muamalat.

Justeru persoalan di sini bagaimana mahasiswa sedia untuk berhadapan dengan ancaman serta peluang liberalisme untuk terus hidup seperti ikan di laut masin yang isinya tetap tawar?  Mahasiswa perlu bangkit. Perlu bangkit dalam memperkukuhkan jati diri masyarakat. Persoalan jati diri bukanlah sesuatu yang sesuai untuk dijadikan bahan politik yang galak sejak akhir-akhir ini. Kiblat mahasiswa seharusnya diletakkan bagaimana memperkukuhkan jati diri sejak dari bangku sekolah hingga ke alam pekerjaan.Mahasiswa sememangnya alah dan alergi akan rasuah, isu salah guna kuasa tetapi isu integriti dalam diri mahasiswa perlu dititik beratkan.Pengamal rasuah berpunca daripada runtuhnya nilai jati diri dan harus diingatkan masalah serta isu integriti juga merupakan virus kerana kurang vaksin jati diri. Integriti minda serta mengamalkan kejujuran serta keikhlasan dalam berfikir merupakan cara terbaik untuk melatih diri supaya terus mempunyai jati diri.

Menanam benih jati diri bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam masa dua puluh empat jam tetapi ia perlu dilakukan sejak dari bertatih lagi. Andai di peringkat pengajian mengamalkan ketidak telusan baik dari segi penyelewengan kuasa serta manipulasi dokumentasi misalnya maka tidak hairanlah sesuatu hari nanti pemimpin yang dilantik akan meneruskan budaya penyelewengan. Akhirnya ia akan mengikis terus jati diri masyarakat.

Tuntasnya mahasiswa perlu bangkit dan sedar bahawa sesungguhnya merekalah pemimpin pada hari ini. Budaya cakap kosong bukan budaya mahasiswa Malaysia. Budaya meneliti isu dari soal emosi bukanlah budaya mahasiswa Malaysia. Sebaliknya budaya mengkaji, membaca, menganalisa dan bersuara menggunakan saluran yang betul serta berhikmah dan berhemah adalah pra syarat menunjukkan mahasiswa itu matang dan bersedia untuk mengetuai masyarakat. Andai mahasiswa beremosi, bermegah di dalam alam maya, berpencak tanpa ilmu pencak, berhujah tanpa ilmu, maka malanglah masyarakat melaburkan sejumlah wang keringat untuk melahirkan pemimpin mereka. Justeru, mahasiswa perlu bangkit!

Ku Amirul Faiz Ku Seman
Timbalan Yang DiPertua
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia


Sumber : CC MAHASISWA UTARA


      Gunakanlah hak berfikir sebelum hak bersuara

P/S: Bacalah...

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...